kerusi

by kkhairina

Bagaikan masih dapat aku merasa kehadirannya, masih dapat lagi aku bayangkan senyumannya yang manis, yang terus menerus mewarnai kelabu dunia. Sahutan kecil tatkala aku memanggil namanya, dengan nada manja sentiasa. Kepulangan aku di rumah sentiasa ditunggu. Kadang juga disambut dengan dengkuran tua, dengkuran itu sudah tentu mengukir senyuman di mulutku. Dulu semasa dia sihat sejahtera, dia bertenaga untuk naik tangga, dia tidur sekali di bilik aku di tingkat dua. Tetapi dia sudah tidak mampu. Aku sering kali juga teman dia tidur, aku tidur di ruang tamu. Sambil aku buat kerja, aku terlelap di situ, tetapi aku senang terjaga. Aku sentiasa terjaga malam apabila dia ke tandas, pukul 2 dan pukul 5 – waktu kemuncak pundi dia penuh. Dari semasa ke semasa, pimpinan aku diperlukan untuk menjayakan perjalanannya ke tandas. Lalu dia tidur dengan aku di ruang tamu. Ruang tamu rumah aku macam kandang nyamuk. Barangkali darah aku manis sangat, nyamuk tidak dapat tahan nafsu. Aku perasan, dia letakkan ubat penghalau nyamuk ditepiku. Aku buka sebelah mata, aku tutup balik, berterima kasih di dalam hati. Pagi berikutnya aku bertanya, apa sebabnya dia tidur di luar. Katanya bilik abang aku panas. Aku tahu dia ingin temankan aku. Bilik abang aku ada penghawa dingin, mana mungkin panas. Kelakar kan? Aku teman dia, dia teman aku.

Ada kerusi buruk di ruang tamu. Yang sudah lama aku berniat untuk membuang, sakit mata aku memandang. Tetapi lama kelamaan aku perasan, kerusi itu kerusi kegemaran dia. Mungkin kerana usia kerusi itu sama dengan usianya. Dia duduk di rumah hari-hari menonton drama melayu. Kalau yang lawak, tergelaknya dia kuat-kuat. Kalau yang sedih, dihembus segalanya dengan tisu. Tiba hari khamis, dia tunggu pukul 9 – ada forum perdana katanya. Tetapi aku yakinlah tv yang tengok dia. Aku suka bila dia tersenyum. Tetapi senyumannya tidak selebar dulu, aku perasan. Dia kerap tidur dan dia cepat penat. Dalam seminggu kadang 2,3 kali dia perlu ke hospital. Kalau ibu aku sibuk dengan kerjayanya, aku lah penggantinya. Ibu aku sudah tunjuk ajar, aku bagaikan sudah hafal temujanji dia setiap minggu.

Sekali dalam bulan biru, di dalam hati- aku mengeluh penat. Ya lah, kawan kawan aku keluar, aku duduk di rumah. Aku ini kan remaja, nak lari dari perasaan itu mungkin sedikit susah. Tetapi jangan lah salah anggap, itu tidak bermaksud aku tidak suka. Tidak bermaksud aku tidak ikhlas. Aku pernah berjanji dengan dia untuk membawa dia ke Putrajaya. Maafkan aku, kerja-kerja duniawi menghalang aku untuk melaksanakan janji itu. Senyumannya tidak selebar dulu.

Apa-apa pun, kerusi itu kini kegemaranku.

Selamat tidur, Tok Poh.

Advertisements